Kehidupan awal dan pendidikan Kwame_Nkrumah

Dilahirkan di Nkroful, Pantai Emas (Ghana kini), Nkrumah menerima pendidikannya daripada Sekolah Achimota, Accra, dan Seminari Roman Katolik, Amisano. Beliau kemudian mengajar di sebuah sekolah Katolik di Axim. Pada tahun 1935, Nkrumah meninggalkan Afrika dan pergi ke Amerika Syarikat dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Lincoln, Pennsylvania pada tahun 1939. Beliau juga mendapat Sarjana Sains dalam bidang pendidikan daripada Universiti Pennsylvania pada tahun 1942, dan Sarjana Sastera dalam bidang falsafah pada tahun berikut. Semasa Nkrumah berkuliah dalam sains politik di Lincoln, beliau dipilih sebagai presiden Pertubuhan Pelajar Afrika untuk Amerika dan Kanada. Nkrumah juga menjadi tutor universiti dalam bidang falsafah.

Semasa Nkrumah berada di Amerika Syarikat, beliau melawat dan berkhutbah di Gereja-gereja Presbyterian orang kulit Hitam di Philadelphia dan bandaraya New York. Beliau juga membaca buku-buku mengenai politik serta ketuhanan, dan menyebarkan tentang idea-idea Marcus Garvey.

Nkrumah tiba di London pada tahun 1945 dengan tujuan untuk belajar di LSE. Akan tetapi selepas perjumpaannya dengan George Padmore, beliau membantu dalam pengurusan Kongres Seluruh Afrika Kelima di Manchester, England. Selepas itu, beliau berjuang anti penjajahan Afrika dan menjadi Naib Presiden Kesatuan Pelajar Afrika Barat.

Nkrumah kemudian dianugerahi dengan ijazah kedoktoran kehormat oleh Universiti Lincoln, Universiti Negara Moscow; Universiti Kaherah di Kaherah, Mesir; Universiti Jagiellon di Kraków, Poland; Universiti Humboldt di bekas Berlin Timur; serta universiti-universiti yang lain.